Aku bukanlah seseorang yang mudah naik marah. Tapi marah itu tetap wujud dalam diriku, seperti bara kecil yang menyala dalam diam. Mungkin, bila orang lihat dari luar, mereka akan fikir aku adalah tenang, lembut. Tapi apa yang mereka tidak tahu, dalam hati aku ada ombak yang menghempas tanpa henti, penuh rasa yang tidak terungkap.
Adakah lembut itu satu kelemahan? Atau sebenarnya aku cuma menipu diri sendiri, berpura-pura jadi lembut kerana takut sakiti hati orang? Aku diam bukan sebab aku setuju. Aku diam sebab aku tidak mahu bergaduh, tidak mahu hal kecil menjadi besar. Dan bila aku diam, mereka klasifikasikan aku sebagai orang yang lembut.
Aku tidak meluahkan perasaan marah aku dalam bentuk kata-kata. Jadi, bila semuanya terkumpul dalam hati, ia mengalir keluar sebagai air mata. Mata ini selalu menahan, seakan-akan ada takungan kecil yang hampir melimpah, menunggu saatnya. Dan bila luka itu terlalu dalam, takungan itu pecah, mengalir deras, bersama seluruh jiwa yang bergetar.
Aku tidak pernah minta untuk jadi begini. Aku tidak pernah minta untuk jadi terlalu sensitif. Aku tidak minta untuk jadi pengecut, takut mahu bersuara. Aku juga tidak mahu jadi pemarah. Tapi, apakan daya? Aku dibesarkan untuk sentiasa mengalah, untuk mengutamakan perasaan orang lain. Kata mereka, itu mulia. Jika aku pertahankan diri sendiri, itu alasan. Alasan bagi mereka hanyalah cubaan untuk lari dari tanggungjawab. Sehingga akhirnya, aku kelu. Aku tidak lagi tahu bagaimana untuk bercakap bagi membela diri aku sendiri, walaupun hati aku menjerit meminta tolong.
Mereka kata hati yang mudah tersentuh ini istimewa. Hati yang lembut, mudah menangis, mudah bersimpati. Tuhan, katanya, suka hati yang begini. Tapi mereka tidak tahu, hati yang lembut ini jugalah yang paling mudah marah. Aku marah kerana kebaikan aku dipijak-pijak, dibalas dengan kebiadapan. Mereka meninggikan suara, mereka menyalahkan aku. Dan aku cuma boleh diam. Mereka lupa, aku juga manusia.
Salahkah aku meminta balasan yang sama? Bukan material, bukan penghargaan besar. Aku cuma minta mereka jangan sakiti aku. Aku cuma mahu mereka berhati-hati dengan hati aku yang mudah pecah ini.
Tapi pada akhirnya, aku salahkan diri aku juga. Mereka kasar, memang begitu sejak dulu. Mereka datang dari dunia yang keras, keluarga yang tidak pedulikan benda remeh seperti perasaan. Hati mereka seteguh batu, tidak tercalar dengan hal kecil. Bagi mereka, semua ini remeh. Mungkin aku yang terlalu ambil hati.
Aku tidak pandai luahkan dengan mulut. Aku cuba tulis, tapi tulisan aku diperli.
Dan akhirnya, aku kembali diam. Sebab aku tahu, aku yang salah. Aku terlalu sensitif. Aku yang tidak cukup kuat.
Ada kalanya, aku mahu jadi seperti mereka. Jadi kasar, supaya aku tidak mudah rasa sakit, supaya aku tidak terlalu ambil peduli dengan apa yang orang cakap. Tapi aku tidak sanggup. Aku tidak sanggup melukakan orang lain, walaupun mereka sering melukai aku. Gurauan kasar yang mereka kenakan pada aku, aku tidak mampu balas. Aku takut, kalau aku buat begitu, mereka akan terluka. Jadi biarlah aku yang tanggung semuanya.
Tapi hati yang mudah tersakiti ini juga yang membuat aku pendendam. Walaupun aku cuba, aku tidak boleh lupa. Ingatan aku kuat, dan walaupun perkara itu sudah berbulan berlalu, lukanya masih segar, masih terasa seperti baru berlaku kelmarin. Aku cuba maafkan. Dan aku berjaya. Tapi kesakitan itu datang kembali, memanggil-manggil dendam yang tersimpan. Aku marah dengan diri sendiri sebab tidak bertindak, sebab terlalu baik, sebab selalu mengalah.
Aku mula membayangkan balasan untuk mereka. Dendam yang aku pendam ini seperti api kecil yang semakin marak, membuat badan aku panas. Dalam diam, aku tersenyum, membayangkan mereka terjatuh ke dalam perangkap balasan aku. Tapi sebelum itu terjadi, aku sekali lagi menyuruh diri aku bersabar, maafkan mereka. Dan begitulah, roda ini terus berputar...
Comments
Post a Comment